5 Cara Bagaimana Rasulullah S.A.W Melayani Anak-Anak Kecil





Siapa saja yang tidak senang dengan tingkah Baginda Nabi s.a.w? Akhlaknya adalah Al-Quran. Tutur kata yang keluar dari mulutnya ibarat mutiara-mutiara berharga yang bersinar-sinar.
Wajahnya pula sentiasa ceria dan banyak tersenyum. Sungguh, hati mana yang tidak terpaut akan santunnya tingkah sebegitu?
Bukan hanya bukan Islam atau orang dewasa yang menyenangi Baginda. Bahkan, anak-anak kecil turut sama menyayangi dan mengasihinya.
Sudah pasti, ada sesuatu yang istimewa dilakukan oleh Baginda terhadap anak-anak ini sehingga menarik hati dan minat mereka untuk mendekati Baginda.
Apa yang Baginda lakukan? Bagaimana Baginda menyantuni anak-anak ini?

#1 – Mengucap Salam

Setiap kali Anas bin Malik melewati sekumpulan anak-anak, dia pasti mengucapkan salam kepada mereka. Anas pun berkata;
“Demikianlah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.”Muttafaqun alaih

#2 – Mendoakan

Dari Aisyah r.a, dia berkata;
“Suatu hari, pernah dibawa sekumpulan anak kecil ke hadapan Rasulullah s.a.w, lalu Baginda mendoakan mereka…”Hadis Riwayat Bukhari

#3 – Tidak Memarahi Atau Mengherdik

Seperti kita tahu, kanak-kanak biasanya banyak karenah dan sudah pasti ada perkara yang membuatkan kita sebagai orang dewasa kadang tidak senang duduk dibuatnya.
Tetapi, tahukah kita bahawa Rasulullah s.a.w tidak pernah memarahi atau mengherdik anak-anak kecil, bahkan sentiasa berlemah lembut dan tenang hadapi mereka. Dari Aisyah r.a, dia berkata;
“Pernah juga dibawakan kepada Baginda seorang anak kecil, lalu anak itu kencing pada pakaian Baginda. Baginda segera meminta air lalu memercikkannya pada pakaian itu tanpa mencucinya.”Hadis Riwayat Al-Bukhari

#4 – Bergurau Senda

Anas bin Malik r.a mengatakan;
“Rasulullah s.a.w sering bergurau dengan Zainab; puteri Ummu Salamah r.a. Baginda memanggilnya dengan panggilan; ‘Ya Zuwainab, ya Zuwainab’ berulang kali.”Silsilah Hadis Sahih dan Sahih Al-Jami’
* Zuwainab bermaksud ‘Zainab kecil’.

#5 – Memberi Nasihat

Tidak mengira siapa dan berapa umurnya, Rasulullah s.a.w akan sentiasa memberikan pengajaran dan nasihat berguna. Begitu juga terhadap anak-anak kecil. Hal ini seperti yang dikatakan oleh Abdullah bin Abbas;
“Suatu hari, aku berada di belakang Nabi, Baginda bersabda; ‘Wahai anak, aku akan mengajarkan kepadamu beberapa kalimat, ‘Jagalah (perintah) Allah s.w.t, pasti Allah akan menjagamu. Jagalah (perintah) Allah s.w.t, pasti kamu akan selalu mendapatkan-Nya di hadapanmu. Jika kamu meminta, mintalah kepada Allah s.w.t, jika kamu memohon pertolongan, mohonlah pertolongan kepada Allah s.w.t’.”Hadis Riwayat Tirmizi
Jika begitulah sikap dan perilaku Baginda Nabi s.a.w terhadap anak-anak kecil, tidak mustahil Baginda disayangi, dihormati bahkan dirindui oleh golongan ini.
Beruntung dan bertuahnya kita diutuskan Baginda Nabi s.a.w untuk menjadi ‘petunjuk arah’ dalam kehidupan ini sekalipun dalam aspek sekecil ini.
Benarlah, Baginda adalah sebaik-baik ikutan kerana di dalam diri Baginda itu sendiri terdapat contoh teladan yang begitu baik buat mereka yang mengharapkan keredhaan Allah s.w.t dan balasan baik di hari akhirat kelak.
Moga entri kali ini bermanfaat untuk pembaca semua. Wallahua’lam.







loading...

0 Response to "5 Cara Bagaimana Rasulullah S.A.W Melayani Anak-Anak Kecil"

Post a Comment