Bayi Mengalami Selesema Dan Hidung Tersumbat, Ini Apa Yang Ibu Bapa Patut Lakukan






Anak kecil atau bayi perlu diberi perhatian yang lebih oleh ibu dan bapa, dalam memastikan mereka tidak jatuh sakit atau tercedera. Pemerhatian yang kerap, terhadap mereka harus diberi keutamaan selain menjaga kesihatan mereka.

Namun begitu, ada ketikanya, bayi akan jatuh sakit, seperti mengalami selesema yang menyebabkan hidung mereka tersumbat. Faktor ini menjadi salah satu penyebab bayi sukar untuk bernafas, dan akan menangis.

Untuk mengurangkan selesema yang dialami oleh bayi, pegawai farmasi, saudara Dziehan Mustapa kongsikan beberapa ubat yang boleh digunakan, dan proses yang betul dalam mengendalikan bayi yang selesema. Bagi ibu bapa, ini boleh memberi bantuan kepada anda jika alami situasi seperti ini.


Bayi dan selesema sukar dipisahkan. Setiap kali selesema berlaku ibu-bapa akan risau melihat hingus yang banyak sehingga menyebabkan hidung tersumbat dan bayi sukar untuk bernafas.

Oleh kerana bayi tidak reti lagi untuk menghembus keluar hingus yang banyak, maka apakah yang ibu-bapa boleh lakukan untuk memberi kelegaan kepada bayi mereka?

Pasti ramai ibu-bapa mengetahui atau pernah terdengar bahawa ubat selesema (kumpulan: Antihistamin) tidak boleh diberikan kepada bayi berumur bawah 2 tahun kerana risiko kesan sampingannya yang boleh menyebabkan gangguan pernafasan bayi sehingga boleh membawa maut (Respiratory distress)

Hmmm...habis tu nak guna apa?

Situasi ini membuatkan ibu-bapa semakin buntu. Ubat selesema pun tidak boleh digunakan. Sedangkan bayi mereka selesema teruk dengan hidung yang tersumbat dan bayi sukar bernafas seterusnya menyebabkan sukar untuk menyusu.

Jangan risau masih ada ikhtiar yang boleh dilakukan. Jalan pertama kita gunakan produk berasaskan bukan ubat.


Terdapat produk dipasaran yang berasaskan air laut/sea water (Isotonik) dalam bentuk semburan hidung (Nasal Spray). Semburan air laut ini bersifat neutral dan mampu melegakan hidung bayi yang tersumbat. Namun pastikan anda menggunakan jenis produk untuk bayi (Sterimar-baby) kerana terdapat 2 versi dalam pasaran iaitu untuk bayi dan orang dewasa.

Mesti ada ibu-bapa yang sudah membeli produk ini tetapi tidak mengetahui bagaimana pula untuk menggunakan alat semburan ini dengan betul.

Mudah sahaja sebenarnya. Pertama dukung bayi pada kedudukan sendeng 45°. Kemudian masukkan muncung spray ke dalam salah satu lubang hidung bayi dan tutup lubang hidung yang sebelah lagi. Dengan pantas semburkan selama beberapa saat ke dalam lubang hidung dan hingus akan keluar bersama-sama aliran cecair air laut yang disemburkan itu tadi.


Bayi mungkin akan meronta-ronta semasa penggunaan alat semburan hidung ini. Sebagai cadangan mungkin boleh lakukan proses ini semasa bayi dibedung agar tidak terlalu meronta-ronta dan lakukan proses ini dengan pantas. Boleh tepuk perlahan-lahan dibelakang bayi (tepuk lohong; kedudukan lengkung membentuk lohong pada tapak tangan-lihat gambarajah) selepas semburan bertujuan melonggarkan kahak dan membantu hingus keluar dengan mudah.

Lakukan proses yang sama untuk lubang hidung yang kedua. Walau bagaimanapun biarkan bayi berehat sebentar (dalam seminit dua) sebelum meneruskan proses semburan ke dalam lubang hidung yang satu lagi. Bayi mungkin akan menangis ketika melalui proses ini, namun ia adalah normal dan ibu-bapa tidak perlu risau.

Dos yang dicadangkan untuk bayi adalah 2-6 spray (Sterimar-baby) dalam sehari pada setiap lubang hidung.


Jika keadaan bayi masih tidak boleh bernafas akibat hidung tersumbat walaupun telah cuba menggunakan produk Sterima-baby, maka ibu-bapa boleh menggunakan ubat dalam bentuk titis dan semburan hidung yang mengandungi bahan aktif bernama; Oxymetazoline.
Ubat Oxymetazoline bukan digunakan untuk menghentikan selesema. Oxymetazoline berfungsi secara sementara untuk melegakan hidung yang tersumbat melalui pengecutan salur darah di kawasan saluran pernafasan, mengurangkan bengkak seterusnya melegakan keadaan tersumbat itu tadi.

Ubat Oxymetazoline boleh didapati di premis farmasi komuniti tanpa memerlukan preskripsi doktor kerana ia tersenarai dalam jadual C senarai racun bawah Akta Racun 1952. Di pasaran ubat titis dan semburan Oxymetazoline mempunyai beberapa kepekatan dos

a) 0.01% titis hidung; untuk bayi baru lahir sehingga umur 4 minggu ( 1 titis 2kali dalam sehari). 0.01% juga boleh diberikan kepada bayi berumur 1-12 bulan (1-2 titis 2kali dalam sehari). 

b) 0.05 titis atau semburan hidung; untuk dewasa dan kanak-kanak 6 tahun ke atas (1-2 titis atau 1 semburan bagi setiap lubang hidung 2-3 kali dalam sehari)

c) 0.025% titis hidung; untuk budak berumur 1 tahun ke atas (1-2 titits, 2-3 kali dalam sehari)

Kesan sampingan ubat ini adalah kekeringan, ketidakselesaan dan iritasi pada hidung dan kekeringan rongga mulut atau tekak.

PERINGATAN !!  Ubat ini tidak boleh digunakan selalu (kerap) atau untuk jangka masa lama kerana ia boleh menyebabkan suatu keadaan yang dikenali sebagai “rebound congestion” di mana dalam keadaan ini keadaan hidung yang tersumbat akan berulang kerana pembengkakkan berlaku dalam saluran pernafasan.

Rujuk doktor jika keadaan hidung tersumbat pada bayi tidak reda, masih tersumbat hidung atau semakin teruk walaupun telah mencuba menggunakan Sterimar-baby dan diikuti dengan ubat Oxematazoline.


Nasihat tambahan untuk anak yang batuk dan selesema:

1. Sekiranya anak tersebut didapati demam, kurangkan demam anak menggunakan ubat seperti paracetamol dengan dos yang betul melalui ukuran berat badan (15mg/kg setiap 6jam).

2. 
Boleh pertimbangkan memberikan madu untuk batuk dan sakit tekak hanya untuk anak berumur lebih daripada 1 tahun. 

 Madu hanya boleh diberikan untuk umur setahun ke atas. Madu berkemungkinan mempunyai clostridium botulinum yang boleh menyebabkan ketoksikan botolinum yang boleh menyebabkan anak mengalami paralysis yang boleh membawa kepada kematian

3. Boleh cuba menggunakan semburan air laut/sea water untuk melegakan hidung anak yang tersumbat.

4. Hidrasi anak dengan air yang banyak atau kerap susukan bayi untuk membantu mencairkan kahak.

5. Boleh menggunakan “air humidifier’ di bilik anak-anak untuk menambahkan sedikit kelembapan kepada udara yang kering.

6. Sekiranya anak anda “wheezing” (pernafasan berbunyi seperti wisel) rujuk doktor secepat mungkin. Rawatan lain diperlukan untuk membuka semula saluran pernafasan yang mengecil.

7. Untuk mengelakkan hidung anak tersumbat, tinggikan sedikit bantalnya ketika mereka berehat atau tidur.

Semoga ibu-bapa tidak risau lagi

Disediakan Oleh 
Mohd Dziehan Mustapa
Pegawai Farmasi







loading...

0 Response to "Bayi Mengalami Selesema Dan Hidung Tersumbat, Ini Apa Yang Ibu Bapa Patut Lakukan"

Post a Comment